PERUTUSAN GB

                     Tinta Keramat                     



Salam Sejahtera, Salam Hulubalang Luar Biasa.

Warga GTaS yang dikasihi,

Bersyukur kita kehadrat IIahi dengan limpah kurnia dan izinNya maka kita para pendidik di sini masih diberi peluang dan kesempatan untuk terus bekerja menabur bakti, menyumbang idea dan tenaga demi meneruskan kelangsungan kemajuan pendidikan negara.

Saya mengucapkan Selamat Datang ke sesi persekolahan 2019. Terima kasih juga diucapkan kepada semua warga GTaS kerana telah bertungkus-lumus melaksanakan tugas yang diamanahkan untuk sesi persekolahan pada tahun 2018  yang lalu. Justeru itu, tahun 2019 ini saya mengharapkan semua warga GTaS untuk terus cemerlang dalam tugas masing-masing.

Pencapaian cemerlang yang dikecapi oleh sesebuah sekolah amat bergantung kepada kesungguhan serta kebertanggungjawabab guru-gurunya dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Usaha dan komitmen yang luar biasa akan menghasilkan pencapaian yang luar biasa. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama mengorak langkah, mengatur rentak dalam melaksanakan perancangan yang telah disusun atur, mudah-mudahan segala apa yang kita rancang dan cita-citakan dapat digapai.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, tahun 2019, pihak KPM telah meletakkan 12 Inisiatif Terbaru peringkat sekolah iaitu Love Respect Humanity Happiness (LR2H) di samping 22 Touch Point Pengarah JPNT bagi 2019. Jadi adalah amat penting semua warga GTaS dapat menghayati dan membimbing semua muridnya agar nanti terserlah kemenjadian muridnya. Pembudayaan TMK dalam pengurusan dan pembelajaran di bilik darjah khususnya melalui PA21 dan Frog VLE akan membantu meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum sekolah. Saya juga berharap semua warga GTas dapat dengan cepatnya menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku pada sesi persekolahan 2019 ini.

Memantapkan pemuafakatan, perpaduan, iklim kerja pendidikan dan keakuran kesetiaan kepada kepimpinan pendidikan negara. Marilah kita mengangkat tinggi kecemerlangan akademik, kokurikulum, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan diri murid serta membentuk kemenjadian murid untuk kita terus mengapai kejayaan yang mampu melonjakkan nama negara, negeri, daerah dan seterusnya nama sekolah.

Akhir kata, semoga sesi persekolahan 2019  akan seiring dengan azam dan tekad bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme diri yang menuntut kepada perubahan bagi menjamin GTaS akan dapat mencapai prestasi yang membanggakan. Apa pun cabaran dan transformasi yang datang kita harus berfikiran positif dan menerima dengan fikiran terbuka demi mencapai matlamatnya.

Sekian, terima kasih.
SELAMAT BERTUGAS

TAN WOON SU

Guru Besar




SELAMAT BERKHIDMAT DI SEKOLAH BAHARU: